Sabtu, 28 Mei 2011

Puteri Mahu Ahli Pergiat Guna Laman Sosial Dekati Golongan Muda

Puteri Mahu Ahli Pergiat Guna Laman Sosial Dekati Golongan Muda

YAN, 20 Mei – Ahli Pergerakan Puteri UMNO digalakkan supaya menggunakan laman sosial untuk dapat mendekatkan diri dengan golongan muda yang sentiasa memerlukan bimbingan serta dorongan.

Ketua pergerakan itu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pendekatan seumpama itu mampu menjadi saluran untuk membincangkan isu-isu semasa mengikut keperluan, sekaligus dapat mengenal pasti masalah yang seringkali melanda generasi muda.

Beliau berkata orang muda kini sering berhadapan dengan pelbagai masalah seperti kewangan dan pekerjaan, yang memerlukan perhatian orang ramai.

“Hubungan yang terjalin menerusi laman sosial seperti Facebook atau Twitter boleh dijadikan saluran untuk kenal pasti masalah mereka, dan anggota Puteri digalak menawarkan jalan penyelesaian terhadap setiap masalah supaya mereka rasa lebih dihargai,” katanya selepas merasmikan majlis sambutan Hari Jururawat Bersama Pergerakan Puteri UMNO Parlimen Jerai, di sini hari ini.

Katanya anggota Puteri UMNO juga perlu memanfaatkan laman-laman sosial dalam menghebahkan program-program Puteri yang sesuai dengan orang muda.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata pendekatan itu juga adalah sebagai langkah persediaan menghadapi pilihan raya akan datang bagi mewujudkan program yang lebih menjurus kepada golongan muda dalam meraih sokongan mereka.


Berita Bertarikh 20 May 2011 Pada 6:22 PM